Tuesday, July 22, 2008

:Jangan ambil risiko terima pekerja asing tanpa dokumen sah: Au

SANDAKAN: Pihak majikan perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan agar pekerja-pekerja asing mereka disahkan dari segi dokumentasi dan bukan mengambil risiko dengan berbuat sebaliknya kerana ianya akan hanya merugikan mereka pada tahap yang lebih teruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura YB Au Kam Wah berkata pada masa yang sama ada juga kes dimana pengusaha mendapat kerugian apabila pekerja asing yang mereka ambil tidak mahu bekerja untuk mereka setelah hanya beberapa bulan sahaja dan bekerja untuk syarikat lain. `Dalam keadaan ini, para majikan akan rugi kerana mereka membayar untuk mendapatkan khidmat pekerja asing untuk satu tempoh yang panjang’, tambahnya lagi.

Beliau berkata kini pihak kerajaan telah membuat operasi menangani masalah pendatang tanpa izin di Pantai Barat Sabah dan ianya akan dikembangkan ke Pantai Timur dan pengusaha tak boleh mempertaruhkan nasib mereka dengan mengambil pekerja asing tanpa dokumen sah.

`Saya menyokong penuh usaha kerajaan dalam operasi ini tetapi kegagalan oleh pihak majikan untuk memastikan agar pekerja asing mereka adalah sah akan mengugat pendapatan para majikan’, katanya lagi.

Au sementara meminta agar para majikan mendapat khidmat pekerja asing dengan cara yang betul juga meminta pihak kerajaan agar mencari jalan untuk membantu para majikan dalam menangani masalah yang mereka hadapi. `Untuk mendapatkan khidmat seorang pekerja asing adalah mahal, mengambil masa yang lama dan susah’, tambahnya lagi. Beliau meminta agar prosedur pengambilan pekerja asing oleh majikan Sabah disemak balik seperti mengenakan majikan membayar secara bulan dan bukan tahun untuk setiap pekerja asing.

Au juga berkata sektor yang mengambil pekerja asing yang ramai adalah dari sektor perladangan, sektor binaan dan sektor perikanan dan masalah yang mereka hadapi perlu diambil kira.