Wednesday, July 16, 2008

:Kerajaan bantu, masyarakat perlu wujudkan kesedaran

LAHAD DATU, Usaha pihak kerajaan dalam membantu pengguna tidak akan mendapat manfaat jika sifat kesedaran tidak ada dan ini akan menjadikan keadaan tertambah sukar, maka dengan itu penyaluran maklumat dari pemimpin setiap lapisan kepada masyarakat adalah perlu dan ianya juga pada masa yang sama diterima dengan cara yang positif.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Haji Datu Nasrun Haji Datu Mansur berkata penyertaan dari peserta dalam program seminar Penggunaan yang diadakan baru-baru ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat sekiranya mereka menyalurkan apa yang mereka telah pelajari.

Nasrun berkata demikian semasa merasmikan program tersebut anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) di sebuah hotel baru-baru ini.

`Program sebegini adalah bermatlamat menjadikan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran dan melindungi pengguna melalui kepenggunaan yang mantap’, katanya lagi.

Pada masa yang sama, Nasrun juga berkata program sebegini juga dapat mengalakkan pengguna agar lebih mengenali dan mengeratkan silaturahim dengan kementerian dan secara tidak langsung pengguna dapat menjaga hak-hak mereka melalui pengenalan tersebut.

Beliau juga berkata program sebegini adalah penting untuk memastikan agar pengguna tidak mudah terpedaya oleh pihak-pihak yang cuba menggunakan situasi semasa untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Seminar tersebut juga menyentuh tentang Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang berperanan mendengar, mentafsir dan mengadili tuntutan terhadap pembekal.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh pegawai daerah Lahad Datu Amat Mohd. Yusof, ketua cawangan daerah KPDNHEP, Sulaiman Derahim. Antara peserta yang hadir dalam program tersebut adalah pengguna-pengguna, ahli-ahli dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kakitangan-kakitangan awam.