Tuesday, July 22, 2008

:Ops Nyah II Bersepadu menahan 195 warga asing

LAHAD DATU: Operasi Nyah II Bersepadu Siri 12/2008 telah diadakan di kawasan Kampung Air dan persekitaran Bandar daerah tersebut sejak pagi tadi dan telah menahan 195 warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan yang mereka yang mempunyai dokumen pengenalan yang diragui hari ini.

Operasi yang bermula dari jam 5 pagi sehingga tengahari tadi telah melibatkan seramai 98 pegawai dan anggota dari bahagian polis, Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) Sabah dan Labuan, Jabatan Ketua Menteri (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan RELA telah memeriksa lebih kurang 1,000 warga asing dari kedua-dua tempat tersebut.

Ketua polis daerah Superintenden Kamis Daming berkata operasi tersebut telah diketuai oleh cif inspector Ahmad Jawila, ketua bahagian Ketenteraman Awam dan juga ketua trafik daerah bersama pegawai PPKP ASP Ahmad Hamdi Jamaludin.

`Kami telah menahan 107 lelaki dan 88 wanita dalam operasi tersebut dan tiada masalah yang dihadapi oleh mereka yang menjalankan tugas selama tujuh jam tersebut’, katanya semasa ditemui di Dewan Serbaguna Pasukan Gerakan Am (PGA) 17.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta agar masyarakat terus memberikan maklumat tentang kehadiran Pendatang Tanpa Izin agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Kamis juga berkata kerjasama dari pihak masyarakat adalah penting dalam usaha tersebut.