Wednesday, January 21, 2009

: Pelatih PLKN terima pujian atas disiplin yang tinggi

TAWAU, Pelatih-pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) kem San Shui mendapat pujian atas pertunjukkan disiplin yang kental walaupun hanya melibatkan diri dalam program tersebut selama seminggu.

Brigadier Jeneral Datuk Liew Yun Fah berkata dalam ucapan perasmian majlis pemakaian pangkat dan sesi bersama timbalan pengerusi Nazeran pada Jumaat lalu di kem tersebut.

`Saya sungguh gembira dengan disiplin yang di tonjolkan oleh anak-anak ini lebih-lebih lagi semasa nyanyian lagu kebangsaan dan lagu negeri Sabah’, katanya dalam majlis yang dihadiri oleh 383 pelatih dari seluruh negara.

Liew juga berkata matlamat kerajaan dalam menjana semangat cintakan negara melalui program tersebut telah terbukti berjaya dan membanggakan.

Pada masa yang sama, Liew yang juga komander Regimen 516 Askar Wataniah mengesa agar para remaja masa kini agar sentiasa menimbah ilmu yang mereka boleh dapati di dalam program tersebut kerana segala yang diajar adalah amat baik untuk diri mereka sendiri dan juga negara.

`Kes serangan terhadap pemangku ketua polis daerah baru-baru ini yang melibatkan remaja adalah suatu perkara yang amat dikesali’, katanya mengenai kes serangan terhadap Superintenden Haji Ramli Ali Mat.

Liew menerangkan bahawa Ramli adalah seorang yang telah banyak berbudi kepada daerah ini mahupun di seluruh pelusuk negara.

Menyentuh mengenai majlis pemakaian pangkat para pelatih yang terpilih, Liew meminta mereka yang telah menerima pangkat agar tidak bangga dengan acara ini tetapi malah perlu menjalankan amanah yang telah diberikan.

`Ingatlah pangkat yang diberi akan disusuli dengan tanggungjawab yang berpatutan dan jalankan amanah tersebut dengan baik’, katanya lagi.

Liew juga berkata program PLKN adalah program untuk semua bangsa dan tidak hanya untuk segolongan kaum sahaja. Beliau mengesa agar para pelatih terus mempraktikkan semangat perpaduan dengan masyarakat dan kaum lain.

Pada masa yang sama, Liew juga berkata kini ramai rakyat Malaysia dari keturunan Tiong Hua telah mula menaruh minat untuk menghantar anak-anak mereka ke program PLKN kerana mereka kini telah lebih memahami maksud dan matlamat PLKN.

`Ramai ibubapa telah merujuk kepada saya untuk memasukkan anak-anak mereka ke dalam program tersebut’, Liew menerangkan.

Beliau juga berkata ini adalah usaha berterusan dari para pemimpin yang terlibat seperti mantan pengerusi Nazeran iaitu Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye.

Turut harir dalam majlis tersebut adalah komandan kem Noor Azhar Borhan dan tetamu-tetamu lain.

Caption: Liew sedang memasang pangkat ke bahu seorang pelatih bersama Azhar.