Monday, September 8, 2008

:Saman untuk penumpang tempat duduk belakang yang gagal memasang tali pinggang keselamatan jika ada: Ong

TAWAU: Kementerian Pengangkutan Malaysia akan mengenakan saman kepada penumpang-penumpang yang duduk dibahagian belakang yang mempunyai tali pinggang keselamatan bermula Januari 1, 2009 untuk kenderaan yang dibina dari tahun 1995 sehingga sekarang.

Datuk Ong Tee Keat, Menteri Pengangkutan Malaysia berkata pihak kerajaan telah meminta agar pengeluar kenderaan dari Proton, Perodua, Naza dan Honda untuk memasang secara percuma kenderaan buatan mereka yang dikeluarkan sejak 1995 dan seterusnya yang kini sudah dijual kepada rakyat untuk mengurangkan beban kepada para pemilik kenderaan.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan kerja ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan membuat perjumpaan dengan Persatuan Bas Sekolah Tawau (PBST), Persatuan Teksi Tawau (PTT) dan Persatuan Lori Tawau (PLT) hari ini.

Ong berkata kenderaan tanpa tali pinggang keselamatan dibahagian tempat duduk belakang akan dikecualikan dari saman ini tetapi pemilik-pemilik kenderaan ini perlulah memasangnya sebelum 2011. Beliau juga mengesa mereka yang memiliki kenderaan dari empat syarikat pembuat kenderaan yang disebut tadi agar pergi ke wakil-wakil kenderaan tersebut untuk mendapatkan pemasangan ini secara percuma dan tidak menggunakan khidmat pemasangan luar yang mungkin akan menjejaskan keselamatan penumpang-penumpang yang duduk dibelakang tempat duduk.

Beliau juga berkesempatan mendengar masalah-masalah yang diluahkan oleh ketiga-tiga persatuan tersebut dan terdapat beberapa masalah yang ditimbulkan telah memberi kejutan kepada beliau seperti masalah `bas sekolah haram’ yang dilaporkan telah menghantar anak-anak sekolah dan kewujutan `bayaran’ yang tidak sekata dikenakan oleh PUSPAKOM dalam aspek pemeriksaan kenderaan.

Perkara lain yang turut diterima beliau adalah mengenai harga tinggi yang dikenakan keatas mereka yang mengambil pelajaran memandu kenderaan untuk mendapatkan lesen memandu.

Ong berkata masalah-masalah yang dilaporkan akan diambil tindakan oleh beliau walaupun beberapa masalah tersebut bukan dibawah bidang kuasa Kementerian beliau.

`Dalam masalah bas sekolah haram, saya berharap agar ahli-ahli persatuan ini dapat memberikan kerjasama semasa kami mengambil tindakan dalam menangani masalah ini’, tambahnya lagi.

Ong juga pada masa yang sama berkata Kementerian beliau sedang mengalakkan mereka yang mempunyai urusan dengan JPJ agar menggunakan sistem on-line internet mereka untuk mengurangkan mereka yang terpaksa berbaris untuk menguruskan kerja-kerja mereka di pejabat-pejabat JPJ. Beliau juga diberi penerangan oleh pengarah JPJ Sabah Wan Idris mengenai `Runner’ mahupun agensi yang memberikan khidmat kepada masyarakat dalam mengendalikan proses-proses yang perlu dengan JPJ diberikan satu kaunter khas dan ini tidak menganggu mereka yang berurusan sendiri di Sabah.


GAMBAR MENUNJUKKAN ONG SEMASA SESI PERJUMPAAN TADI.