Saturday, August 16, 2008

:Jualan amal dapat sambutan

TAWAU: Sumbangan murni para penderma dan pembeli di jualan amal anjuran Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Rumah Wargatua Air Panas terus mendapat sokongan yang baik dari masyarakat dan diharap dapat diteruskan dalam menambah dana ALP untuk tujuan pembiayaan aktiviti-aktiviti tambahan kepada penghuni di institusi tersebut.

Bendahari ALP, Liew Fook Kiaw berkata sokongan dari pihak masyarakat adalah amat dihargai kerana aktiviti-aktiviti tambahan ini mampu memberi satu dorongan kepada penghuni untuk terus aktif dalam kehidupan harian mereka.

Pelbagai barang jualan termasuklah barangan hiasan rekabentuk Cina dan juga makanan kesihatan kini dipamerkan di dewan makan institusi tersebut kepada mereka yang ingin membeli.

Beliau berkata barangan ini adalah sumbangan dari bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Liew Yun Fah bersama beberapa pemimpin masyarakat lain seperti Datuk Yong Chi Fui dan Yen She Tan.

Institusi tersebut kini mempunyai 37 penghuni warga emas dan antara aktiviti yang bakal diadakan adalah aktiviti lawatan ke Kota Kinabalu pada Julai 18 selama tiga hari. Penguasa institusi tersebut Taufiq Leong berkata rombongan seramai 18 orang terdiri dari 10 warga emas akan membuat lawatan tersebut.

Beliau berkata rombongan ini akan membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dan Etong @ Ithong Bin Terang, pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

`Kunjungan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada warga emas untuk lebih mengenali pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan warga emas’, katanya.

Rombongan tersebut juga akan membuat lawatan muhibbah ke Rumah Wargatua Sri Pritchard Kinarut di Papar dan ke muzium negeri.