Tuesday, August 5, 2008

:Sokong penuh usaha kerajaan pembangunkan taraf pendidikan: Liew

TAWAU: Para ibubapa digesa agar meneruskan usaha membantu sekolah dimana anak-anak mereka belajar melalui pemberian sokongan kepada pihak sekolah terserbut dan secara tidak langsung membantu usaha kerajaan dalam meningkatkan lagi kemajuan dalam bidang pendidikan.

Komander pemerintah Regimen 516 Askar Wataniah dan juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah Brigadier Jeneral Datuk Liew Yun Fah dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah SM Teknik ke 12 baru-baru ini berkata usaha ini adalah perlu kerana ianya dapat membantu anak-anak mereka berjaya dan usaha kerajaan tidak disia-siakan semata-mata.

Liew yang juga bapa angkat sekolah tersebut berkata pihak kerajaan melalui Menteri Pelajaran Malaysia Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein telah memberikan usaha yang tepat dalam pembangunan pendidikan anak-anak Malaysia tetapi usaha ini perlu disokong oleh pihak ibubapa.

`Tanpa sokongan yang kuat, maka usaha kerajaan tidak akan berjaya seperti yang dirancang dan kita semua akan rugi kerana pembertaruhkan masa depan anak-anak kita’, tambahnya dalam majlis tersebut yang dihadiri oleh lebih 600 ibubapa di dewan sekolah tersebut.

Liew yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai berkata persatuan PIBG memainkan peranan yang amat penting dalam membantu sekolah dalam pendidikan anak-anak mereka. Beliau juga berkata penglibatan para ibubapa akan membuahkan hasil yang amat baik dan secara tidak langsung memberi faedah kepada semua.

Liew pada masa yang sama membuat gesaan agar pihak ibubapa juga perlu memberi sokongan kepada PIBG yang mereka ceburi agar persatuan ini dapat membantu sekolah.

`Sesebuah persatuan akan menjadi lebih kuat dengan adanya dana yang baik dan ini juga adalah saranan saya kepada semua agar dapat memberi sumbangan kepada dana tersebut’, tambahnya lagi.

Saranan beliau diterima dengan baik apabila satu kutipan dibuat pada majlis tersebut dimana lebih dari RM7,500 telah dikutip sumbangan murni dari pihak ibubapa, para pendidik dan Liew sendiri untuk memperkukuhkan tabung PIBG sekolah tersebut.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut adalah Azman Mansor, penolong kanan hal ehwal pelajar sekolah dan Yang Dipertua PIBG SM Teknik Mohd. Rashid Saad dan timbalan beliau.


GAMBAR MENUNJUKKAN LIEW MEMBERIKAN JUMLAH KUTIPAN KEPADA WAKIL PIBG SM TEKNIK.