Saturday, November 8, 2008

: Askar Wataniah buat kerja kebajikan

TAWAU, Penglibatan belia dan beliawanis dalam pembelajaran agama adalah suatu yang amat perlu untuk memastikan agar generasi masa depan akan dapat menyumbang kearah pembangunan negara.

Ini adalah penting untuk menjaga kemampuan negara untuk bersaing dengan masyarakat dunia dan Malaysia yang mempunyai masyarakat dari pelbagai fahaman agama perlulah mempelajari agama masing-masing untuk tujuan tersebut.

Brigadier Jeneral Datuk Liew Yun Fah berkata demikian semasa melawat sekolah agama Mahad Tafis Ashabisyadhid di Bombalai baru-baru ini berkata pelajar-pelajar sekolah tersebut juga perlu juga menanam sikap persahabatan yang erat dengan masyarakat Malaysia yang lain dan tidak terpengaruh dengan isu-isu perkauman yang kini diutarakan oleh beberapa pihak dalam politik.

`Kita dalam Malaysia tidak mempunyai masalah perkauman dan ini perlulah kita teruskan untuk memastikan agar negara kita sentiasa maju’, tambahnya lagi.

Liew berada di sekolah tersebut bersama timbalan komander Leftenan Kolonel Mohd. Samin Haji Mohd. Sih, para pegawai dan anggota Regimen 516 Askar Wataniah untuk memberi sumbangan beras sebagai satu lagi usaha regimen tersebut dalam projek kemasyarakatan mereka.

Pada masa yang sama, Liew yang juga komander regimen tersebut telah menyumbang wang bagi pihak beliau dan juga regimen tersebut kepada sekolah yang mempuyai 84 pelajar.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah pengerusi JKKK Bombalai Achok Sulong.

Caption: Liew menyaksikan penyerahan 20 kumpit beras dari Samin kepada Achok.