Saturday, November 29, 2008

Perlunya ada makmal ujian makanan di Pantai Timur Sabah

TAWAU, Pihak berkuasa digesa agar mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ujian sayuran yang kini perlu mengambil masa tiga bulan untuk diuji kerana ketiadaan makmal ujian yang berdekatan.

Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Dato’ Yong Chi Fui membuat gesaan tersebut atas sebab tempoh yang lama untuk membuat ujian manakala penjualan sayur yang diuji masih dijual kepada masyarakat.

`Dalam masa tiga bulan, ramai akan jatuh sakit akibat memakan sayur yang tidak mengikuti spesifikasi kesihatan dan masa ujian ini perlulah dipendekkan’, katanya dalam mesyuarat penuh ahli majlis kelmarin.

Yong berkata hanya ada satu sahaja makmal yang membuat ujian sebegini iaitu di Kota Kinabalu dan ini tidak memberi manfaat kepada masyarakat yang tinggal di Pantai Timur Sabah.

`Sayur yang diuji akan terus dijual dan ini merupakan satu risiko kepada masyarakat dan saya mengesa agar langkah-langkah sewajarnya dapatlah diambil untuk menangani masalah ini’, katanya lagi.

Yong berkata demikian kerana ujian terhadap sayuran yang dijual kepada masyarakat di daerah ini memerlukan tiga bulan masa untuk mengetahui akan tahap bahaya sayuran tersebut kepada pengguna.


Caption: Yong.