Monday, October 6, 2008

: Mereka yang daif digesa dapatkan bantuan kerajaan

TAWAU: Mereka yang memerlukan bantuan perlulah merujuk kepada agensi-agensi ataupun badan-badan yang berkenaan dan mengajukan masalah mereka untuk mereka layak mendapat bantuan ehsan dari pelbagai program kerajaan yang dijalankan untuk membantu mereka.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui berkata pihak kerajaan mempunyai pelbagai program untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan yang berbentuk besar mahupun kecil untuk mengurangkan beban keluarga yang daif.

`Mereka yang memerlukan bantuan ini bolehlah mendaftarkan diri mereka di pejabat saya di komplek Takada dan mereka akan mendapat bantuan jika mereka layak’, katanya dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di kampung Ranggu baru-baru ini.

Chua juga berkata program kecil-kecilan juga wujud seperti membantu meningkatkan ekonomi keluarga dengan pemberian benih tanaman dan ternakan untuk tujuan membantu.

Beliau juga berkata pegawai yang bertanggungjawab terhadap program ini iaitu puan Surianah Salleh juga perlu diberi pujian atas usaha beliau yang begitu gigih dalam membantu mereka yang memerlukanya.

`Setakat ini, lebih kurang 400 keluarga telah mendapat manfaat dari program-program yang sedia ada seperti bantuan kewangan untuk sewa rumah dan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka dan bantuan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia tak kira bangsa’, tambahnya lagi.

Mengenai majlis berbuka puasa, Chua berkata ini adalah satu peluang kepada ketua-ketua jabatan ataupun agensi kerajaan untuk bersama masyarakat setempat dan lebih mengenali masalah yang dihadapi oleh mereka.

Chua juga berkata pendekatan ini juga boleh dibuat dalam perayaan-perayaan yang diamalkan di negara ini seperti Tahun Baru Cina dan Krismas dimana ketua-ketua yang berkenaan boleh mendapat imput tentang permasalahan masyarakat yang dikunjungi.

Chua pada masa yang sama berkata majlis sebegini adalah julung kali diadakan di kampung tersebut dan ianya akan dijadikan acara tahunan sebagai salah satu usaha untuk menunaikan janji beliau semasa pilihanraya yang lalu.

Beliau juga menyentuh mengenai pentingnya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum terus mengamalkan hidup bersama secara aman dengan memetingkan keamanan dan menghormati tradisi dan agama masing-masing untuk memastikan agar negara akan terus maju. `Kita telah mempraktikan sikap hidup bersama secara aman sejak kemerdekaan dan kita perlu terus mengamalkannya untuk kepentingan generasi masa depan’, tambahnya.

GAMBAR MENUNJUKKAN CHUA SEMSA MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA MEREKA YANG LAYAK.