Thursday, June 12, 2008

:Penghantaran balik PTI perlu ambil kira undang-undang antarabangsa: Syed Hamid

TAWAU, Negara ini adalah ahli kepada badan dunia antarabangsa dan penghantaran balik pendatang tanpa izin memerlukan perancangan dan mematuhi undang-undang dunia.


Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Hamid Alba berkata negara asal pendatang tanpa izin perlu mengakui akan kewarnegaraan mereka dan hanya itu membolehkan penghantaran dijalankan.

`Kalau negara asal mereka tak mengakui, maka penghantaran balik tidak boleh dilakukan’, katanya dalam majlis perjumpaan dengan wartawan di ibu pejabat Polis daerah pagi kelmarin.

Beliau berkata ini akan menjadi satu masalah sosio ekonomi dimana mereka akan menetap di kawasan-kawasan setinggan dan justeru itu menyebabkan lebih jenayah berlaku.

Syed menambah perkara ini memerlukan usaha yang jitu dari setiap golongan masyarakat dalam menangani masalah tersebut.

Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa dalam operasi membuat penangkapan dan penghantaran balik pendatang tanpa izin, ianya memerlukan kemudahan seperti pusat tahanan, logistic dan penguatkuasaan untuk perkara ini.

`Pihak kerajaan amatlah serius dalam menangani masalah pendatang tanpa izin sehingga mencapai tahap sifar tetapi perkara ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana mobility manusia dari satu negara ke satu negara lain.

Beliau berkata bahawa Malaysia mempunyai lebih kurang 2.1 juta pekerja asing dimana 220,000 pekerja asing dari jumlah tersebut bekerja di Sabah.

`Ini menunjukkan bahawa negara kita menjadi tarikan kepada pekerja-pekerja negara asing’, tambahnya lagi.

Walaupun begitu, beliau berkata bahawa Semenanjung Malaysia masih mempunyai anggaran satu juta pendatang tanpa izin dan Sabah dianggarkan mempunyai seramai 90,000 pendatang tanpa izin.

Beliau menambah diantara tahun 2001 ke 2008, seramai 122,266 pendatang tanpa izin telah dihantar balik manakala diantara 2000 ke 2008, seramai 161,000 pendatang ditahan.

Dalam masa itu, Syed berkata lima tempat pemeriksaan telah dikenalpasti untuk diwujudkan seperti Sipitang, Beaufort, Pensiangan ke Kalabakan, Tawau ke Kunak dan Sandakan ke Telupid dimana setiap tapak pemeriksaan ini dianggarkan bernilai RM200,000 setiap satu.

Beliau juga berkata tiga isu utama yang perlu ditangani di Sabah adalah masalah pendatang tanpa izin, dadah berbahaya dan rokok haram.