Sunday, June 29, 2008

:Rotary akan terus sokong tema

TAWAU, Kelab Rotary Tawau Tanjung akan terus memberikan sokongan dan bergerak selari dengan tema Rotary International `Jadikan Impian Satu Kenyataan’ dalam membantu ribuan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka dari terus mengalami kekurangan khasiat makanan, penyakit dan malapetaka.

`Memperbaiki taraf hidup penduduk di negara-negara membangun adalah satu cabaran pada abad ke 21 kerana hampir 2 juta kanak-kanak dan jutaan manusia meninggal kerana penyakit-penyakit dari air yang tidak bersih’, kata presiden baru kelab tersebut Chua Kin Loong dalam satu majlis mengangkat sumpah ahlijawatankuasa baru ke 15 kelmarin.

Beliau berkata lebih 30,000 manusia meninggal dunia setiap hari kerana ketiadaan air yang bersih untuk mereka gunakan seluruh dunia dan penekanan Rotary International dalam masalah air, buta huruf, kesihatan dan kebuluran adalah tepat dalam menangani masalah ini. Pada masa yang sama, Chua berkata mereka akan membuat usaha untuk menyalurkan air bersih ke kawasan-kawasan pendalaman untuk meningkatkan lagi tahap kesihatan masyarakat di luar bandar dan sekaligus mendorong sektor penanaman dan penternakan dan lain-lain usaha untuk menambah lagi sumber makanan.

Presiden lepas Peter Wong Siew Kion dalam ucapan sebelum itu berkata kelab tersebut telah membuat beberapa projek berpandukan pada 5 pendekatan seperti penyertaan ahlinya dalam perjumpaan-perjumpaan bertaraf negeri dan antarabangsa, penyediaan kem perubatan di Silipompon, Kalabakan, pemeriksaan mata dan pembiayaan 17 kaca mata kepada mereka yang layak menerima, dan sumbangan buku-buku untuk sekolah SMK Tawau.

Pada masa yang sama, kelab interact yang berpusat di sekolah-sekolah juga turut membuat projek seperti projek-projek patriotisma dan projek mengumpul dana untuk kelab masing-masing. Wong juga menyentuh akan sumbangan murni Yayasan Lau Gek Poh yang telah menyumbang RM200,000 kepada pusat Heamodalysis kelab tersebut.

Saksi utama dalam majlis tersebut adalah Datuk Elbert Lim Yu Ming.