Friday, July 18, 2008

:Hanya 22 pelesen restoran layak kenakan cukai perkhidmatan di Sabah

LAHAD DATU: Hanya 22 pelesen restoran di Sabah yang beroperasi diluar kawasan hotel dan mendapat keuntungan lebih dari RM3 juta setahun layak mengenakan cukai perkhidmatan terhadap pelanggan di negeri ini.

Pengarah Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) Sabah, Datuk Haji Md. Yusop Haji Mansor berkata pihaknya telah mengenal pasti 314 restoran-restoran lagi yang beroperasi di luar kawasan hotel dengan pendapatan kurang dari RM3 juta setahun tidak layak berbuat demikian di negeri ini.

`Mereka yang tidak layak mengenakan cukai perkhidmatan ini bermula dari Julai 1’, katanya dalam satu sidang akhbar hari ini semasa menghadiri majlis Setia dan Mesra KDRM Lahad Datu di tapak bahagian pencegahan KDRM.

Beliau berkata sebelum ini terdapat 336 pelesen yang layak mengenakan cukai tersebut dalam Sabah dimana pelesen-pelesen ini boleh mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 5 peratus dengan kebenaran KDRM. Yusop juga berkata masyarakat boleh membuat aduan sekiranya cukai tersebut dikenakan kepada mereka tanpa adanya permit yang dipamerkan di premis tersebut.

`Sekiranya premis tersebut tidak mempamerkan permit tersebut dan mengenakan cukai perkhidmatan lima peratus tersebut, maka mereka boleh didakwa dibawah Seksyen 31 Akta Cukai Perkhidmatan 1975’, tambahnya lagi.

Beliau juga berkata bahawa KDRM Sabah juga dianggarkan akan kehilangan sebanyak RM1.5 juta hasil dari pembaharuan ini mengikut anggaran kutipan cukai. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah ketua KDRM Lahad Datu, Norizan Haji Yahya beserta pegawai dan tetamu-tetamu yang lain. Yusop juga melakukan upacara membakar bot-bot yang dirampas pada tahun yang lalu.