Thursday, July 10, 2008

:Pantai Timur Sabah akan ada lingkaran stesen radar: Allatif

TAWAU, Pantai Timur Sabah akan mendapat lapan sehingga sembilan buah Radar dalam usaha membuat memantauan keatas kawasan tersebut untuk menangani masalah kes-kes jenayah dan kemasukan militan dan memastikan agar kes penculikan 21 orang dari pulau Sipadan tidak akan berulang lagi.

Panglima Angkatan Bersama Lt. Jeneral Dato’ Allatif bin Mohd. Noor berkata pemasangan radar-radar ini akan mula dibina selepas bulan Oktober tahun ini dan akan membantu radar-radar dan pengawasan dari udara, laut dan darat yang sedia ada.

Allatif dalam satu sidang akhbar di kem Kukusan pagi ini berkata sekurang-kurangnya lapan radar akan dipasang untuk tujuan tersebut secara keseluruhanya.

`Kita pada masa kini mempunyai kemampuan pengawasan siang dan malam yang diberikan oleh Angkatan Tentera Udara kami dengan penggunaan teknologi `infra red’ dan radar-radar ini akan memampatkan lagi bidang pengawasan kami’, katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di kem tersebut. Beliau berkata peningkatan ini akan membuat operasi Ops. Pasir Selatan akan lebih berkesan dan radar-radar tersebut akan diserapkan dalam sistem pertahanan yang sedia ada. Pada masa kini, satu radar telah dikenal pasti akan dibuat di Tinagat untuk matlamat tersebut.

Allatif juga berkata juga telah berhubung dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengemaskini sistem `Pasukan Kilat’ yang melibati kedua-dua pihak. Pada masa yang sama, daerah ini telah dipilih atas sebab-sebah geostrategic yang amat sesuai. beliau juga berkata mereka juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan lebih banyak bot-bot untuk tujuan rondaan dan logistic dan juga meminta kerjasama dari agensi-agensi keselamatan lain.

Sebelum itu, Allatif dalam ucapan perasmiannya berkata MAB diwujudkan pada tahun 2006 untuk mengambil alih tugas-tugas Ops. Pasir yang sebelumya dikendalikan oleh markas 5 Briged setelah berlakunya dua kejadian penculikan di pulau Sipadan dan pulau Pandanan dimana 21 pelancong dan rakyat Malaysia yang diculik pada penhujung bulan April, 2000 dan 3 lagi orang dari Pandanan selepas itu.

`Organisasi ini ditubuhkan secara Ad Hoc dan satu perancangan telah dibuat untuk membuat penyelarasan tugas-tugas operasi dengan lebih sistematik bila ATB 2 ditubuhkan dengan 17 pegawai dan lain-lain pangkat dan kini mempunyai 36 anggota yang berjawatan tetap’, katanya.

Beliau juga berkata kewujudan markas ini pada dasarnya adalah akibat dari perubahan scenario peperangan masa kini iaitu konsep peperangan bersama yang lebih awal telah dipraktikkan oleh negara-negara maju untuk mencapai keberkesanan sesuatu operasi.

`Ini menunjukkan komitmen dari pihak kerajaan terhadap keselamatan negeri Sabah dengan kelulusan peruntukan untuk membina markas ATB 2 yang berjumlah RM4.9 juta’, tambahnya lagi. Allatif juga berkata markas ini juga akan dilengkapi dengan sistem pengawasan bersepadu yang berupaya memperolehi maklumat-maklumat yang tepat.

Beliau berkata peningkatan ekonomi kini adalah hasil dari keadaan keselamatan yang terkawal oleh kem KD Sri Semporna, kem KD Sri Wangsa, kem Azumi, kem Dogoton di pulau Banggi dan banyak lagi penempatan tentera yang mengawal keselamatan negeri ini. `Penempatan kem-kem ini juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dimana hampir 85 peratus keanggotaan kompeni bot tempur telah dijawat oleh rakyat negeri Sabah selain dari jawatan-jawatan yang lain.

Allatif juga berkata kesan kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops. Pasir dibantu oleh pasukan keselamatan yang lain telah memberi impak yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan keadaan keselamatan dengan kehadiran pelancong ke pulau-pulau peranginan dimana 2.4 juta pelancong pada tahun 2007 telah melancong berbanding dengan hanya 1.2 juta pada tahun 2002.

Beliau juga mengucapkan penghargaan beliau kepada komander Regimen 516 Brigadier Jeneral Datuk Liew Yun Fah yang telah berjaya mendorong anak-anak Sabah untuk mengisi perjawatan kosong dalam ATM. Turut diadakan adalah majlis penyerahan tiga buah kenderaan motosikal empat roda (ATV) untuk menambah lagi kemampuan ATB 2 yang diberikan oleh Markas Angkatan Bersama (MAB).

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah komander ATB 2 Brigedier Jeneral Sheikh Mokhsin bin Sheikh Hassan dan wakil-wakil agensi kerajaan tempatan.