Thursday, July 10, 2008

:Polis minta bantuan Indonesia berkas suspek kes bunuh: Jaafar

TAWAU, Polis di Raja Malaysia (PDRM) telah meminta bantuan dari pihak polis Indonesia dalam menjejak dan menangkap seorang suspek yang terlibat dalam satu kes pembunuhan di Wallace Bay kelmarin dalam kawasan kongsi estet Dukawan.

Ketua Polis daerah ACP Jaafar Mohd. Yussof berkata pihaknya telah membuat permintaan tersebut apabila kematian mangsa Mansor bin Ambo, 44, dipercayai mati akibat ditikam sebanyak 16 kali oleh suspek yang telah dikenali sebagai Lias Darise, 40.

`Maklumat orang awam yang diterima menunjukkan suspek yang mempunyai paspot sah telah melarikan diri kearah sempadan Indonesia yang terletak lebih kurang 300 meter dari tempat kejadian’, katanya.

Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai juragan kapal feri membawa produk minyak kelapa sawit dari Wallace Bay ke Merotai dipercayai dibunuh dengan menggunakan pisau yang dikenali sebagai taji ayam lebih kurang jam 8.00 pagi.

`Kami mendapat maklumat mangsa telah ke kongsi tersebut dan bertemu dengan suspek dimana pergaduhan berlaku atas sebab isteri suspek dan pergaduhan tersebut berlaku sejurus itu’, tambahnya lagi.

Dalam satu kes lagi, dua suspek dalam satu kes pecah rumah ditangkap oleh pihak polis petang kelmarin apabila mereka dipercayai telah memasuki satu rumah di Taman Scenery pada pagi hari yang sama. Beliau berkata ini adalah hasil maklumat tuan rumah yang berjaya menyaksikan kenderaan tersebut dalam kes tersebut dimana 5 buah telefon bimbit dan satu MP4 dilaporkan hilang dengan jumlah kerugian sebanyak RM5,000.


`Berdasarkan pada maklumat yang diterima, kami telah menjumpai kenderaan Kancil tersebut di pasar sayur di Sin Onn dan berjaya menahan dua orang dan merampas balik semua barang-barang yang dicuri pada jam lebih kurang 4.30 petang’, katanya. Jaafar juga berkata dua-dua suspek tersebut yang berumur 27 dan 22 kini ditahan untuk siasatan lanjut.