Wednesday, July 23, 2008

:Rakyat Sabah komited dalam keselamatan negeri: Liew

TAWAU: Penambahan ahli-ahli baru dalam regimen Askar Wataniah di negeri ini lebih-lebih lagi dari bahagian Pantai Timur Sabah telah menunjukkan minat yang dimiliki oleh masyarakat Sabah dalam menyertai pasukan keselamatan ini dan ini juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen rakyat Sabah dalam aspek keselamatan negeri ini.

Walaubagaimanapun, penyertaan mereka ini memerlukan komitmen yang lebih padu kerana mereka harus tahu akan tanggungjawab mereka memakai pakaian tentera dan juga peranan mereka dalam keselamatan.

Brigadier Jeneral Datuk Liew Yun Fah dalam ucapan perasmian penutupan latihan Kursus Asas Perajurit Muda berkata mereka harus terus menerap ilmu agar mereka mampu membantu askar biasa bila timbulnya konflik yang berkemungkinan akan berlaku pada masa depan.

Liew merasmikan penutupan itu di padang kawat kem 7 Melayu Askar DiRaja Malaysia baru-baru ini.

`Melatih orang biasa menjadi seorang askar bukanlah satu perkara yang mudah tetapi komitmen yang ditunjukkan telah menyakinkan dan meringankan tugas kami dalam aspek tersebut’, Liew yang juga pegawai pemerintah Regimen 516 Askar Wataniah untuk Pantai Timur Sabah berkata.

Beliau berkata sebagai seorang askar Wataniah, mereka perlulah sentiasa bersedia dari segi mental, mengambil ilmu yang banyak, mempunyai pengetahuan ketenteraan yang tinggi, mampu menunjukkan tahap disiplin yang tinggi dan juga menjaga imej mereka. Liew juga berkata bahawa latihan asas tersebut hanya dibuat untuk sebulan tetapi para pelatih perlu menyerapkan ilmu yang diterima dalam masa yang singkat tersebut dan mengenali taktik peperangan.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah leftenan Kolonel Ajis Sharif, pegawai pemerintah kem 7th Melayu dan Major (K) Haji Salsidu Ibrahim.