Thursday, July 24, 2008

:Polis Marin tahan 340 kayu balak

TAWAU: Polis Marin daerah berjaya menahan satu `scow’ yang berisi 340 batang kayu balak dalam satu kes yang mempunyai nilai rampasan yang dianggarkan sebanyak RM1 juta petang kelmarin.

Ketuanya, DSP Husaini Zainal Abidin berkata scow yang sedang ditarik oleh sebuah bot tunda ditahan di perairan laut Sungai Pasir Putih lebih kurang 1.5 batu nautika dari pantai pada jam lebih kurang 3.35 petang. Beliau berkata botronda PGR 31 telah membuat tahanan tersebut dan juragan bot tunda tersebut telah ditahan dalam tindakan tersebut.

`Juragan yang berumur 46 tahun itu gagal menunjukkan borang cukai, pas kebenaran belayar dan senarai jenis kayu dan ukur lilit kayu apabila diarahkan berbuat demikian’, katanya semasa menyerahkan kes tersebut kepada wakil Jabatan Perhutanan di tempat penahanan renjer kanan Haji Sakaran Abdul Lajak pagi tadi.

Husaini berkata kes bersabit dibawah Enakmen Hutan Seksyen 30 (1). Kayu-kayu tersebut juga tidak mempunyai tanda pengesahan pemeriksaan pihak jabatan Perhutanan pada pangkal dan hujung kayu balak tersebut.

Beliau juga berkata penangkapan ini adalah hasil dari maklumat orang awam dan operasi penangkapan dibuat oleh Cif Inspektor Safri Anuar Jamin bersama empat orang anggota Marin.